Pejabat Peguam Negara nafi bicara Najib berhubung SRC tak sah

0
2

PEJABAT Peguam Negara menafikan membuat ketetapan berhubung kes perbicaraan SRC International membabitkan Datuk Seri Najib Razak berhubung dana RM42 juta di Mahkamah Tinggi sebagai tidak sah.

Dalam kenyataannya, Pejabat Peguam Negara memberi maklum balas bahawa pihaknya akan meneruskan dengan rayuan kes berkenaan dan menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan.

Kenyataan itu sebagai mengulas ciapan dan ‘aporan dikongsi di media sosial bahawa Pejabat Peguam Negara membuat ketetapan perbicaraan “tidak sah kerana kesilapan prosiding.”

“Jabatan ini menafikan ada membuat ketetapan seperti dikatakan dalam kenyataan tersebar itu,” katanya memetik Free Malaysia Today.

Pada Mei, Mahkamah Persekutuan menetapkan selama 10 hari bermula 15 Ogos untuk mendengar rayuan terakhir bekas perdana menteri itu berhubung sabitannya.

Pada Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi, pada Julai 2020, yang mensabitkan Najib bersalah terhadap tujuh pertuduhan salah laku, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang membabitkan RM42 juta milik SRC International yang dimasukkan dalam akaun peribadinya.

Sabitan itu juga mengekalkan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta. Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pekan itu dibenarkan ikat jamin sementara menunggu tarikh ditetapkan mahkamah atasan.

Bulan lalu, Najib juga memfailkan permohonan membatalkan sabitannya dengan mendakwa Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mempunyai konflik berkepentingan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here