MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) perlu dibubarkan dan Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu dipecat kerana gagal memulihkan negara, tegas Pengarah Komunikasi Pemuda Umno Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri.
Beliau berkata, desakan itu yang patut dilakukan, bukan desakan ke atas pemecatan Pengarah Ekonomi Perdana Menteri, Shahril Suffian Hamdan yang juga Ketua Penerangan Umno.
Menurutnya, beliau terpanggil untuk menjawab kenyataan Ketua Penerangan Bersatu Kedah, Khairul Anuar Ramli yang mendesak Shahril meletak jawatan.
“Shahril dilantik menjadi Pengarah Ekonomi bukan untuk menjadi orang kepercayaan Perdana Menteri (PM). Tetapi untuk membantu PM mempertimbangkan keputusan-keputusan penting mengenai ekonomi negara.
“Sebagai contoh, gaji minima yang naik kepada RM1,500. Shahril antara orang yang menasihat PM perkara ini perkara yang baik untuk rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, Shahril adalah lulusan Ekonomi dari University of Manchester yang ditaja biasiswa Bank Negara Malaysia dan berjaya memperoleh ijazah Sarjana dalam bidang Etnik Kaum dan Kajian Pasca-kolonial di London School of Economics and Political Science dengan biasiswa penuh dari Chevening, Jabatan Luar dan Komanwel British.
“Berpengalaman sebagai Jururunding Strategi dan Pengurusan di McKinsey and Company selama tiga tahun, Pengurus Penempatan di Teach For Malaysia dan Pegawai Dasar kepada Menteri Kabinet selama dua tahun, tidak cukupkah untuk diangkat sebagai Penasihat Ekonomi Perdana Menteri?
“Yang saya pelik, beliau minta gaji Shahril lebih baik diagihkan untuk membantu rakyat. Tetapi Muhyiddin, Presiden Bersatu, Muhyiddin tuntut PM melantik Timbalan Perdana Menteri dari Bersatu dan beberapa jawatan lain dalam kerajaan. Bukan ke ini juga akan menambahkan gaji yang dibayar? Bukan ke lebih elok gaji itu diagihkan kepada rakyat?” soalnya.
Menurutnya, desakan pengisian jawatan Kabinet daripada Bersatu membuktikan parti berkenaan ‘gila jawatan’ dan ‘Scheme of things’ mereka.
“Amaran saya kepada Khairul Anuar, tak perlu menjadi ejen pemecah belah Umno. Jaga parti sendiri. Yakin ke Bersatu ada sokongan di Kedah? Saya tidak hairan jika selepas pilihan raya Bersatu tidak akan ada sebarang kerusi di Kedah.
“Shahril pula akan terus laksanakan tugas beliau selaku Ketua Penerangan Umno dan Pengarah Ekonomi Perdana Menteri,” katanya.
Khairul Anuar dalam satu kenyataan semalam, berkata Shahril tidak dipercayai sepenuhnya oleh Perdana Menteri susulan tidak mengetahui mengenai perjanjian bertulis antara Perikatan Nasional (PN) dengan Perdana Menteri.
Menurutnya, rakyat boleh persoalkan fungsi Shahril di Pejabat Perdana Menteri dan gaji besar yang diterimanya lebih baik diagihkan untuk membantu rakyat, selain beliau lebih baik letak jawatan segera. – Malaysiapost

