MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil ringan jangkitan wabak Covid-19 kerana dua subvarian Omicron BA.4 dan BA.5 kini merebak dengan pantas.
Menerusi ciapan di Twitternya, Khairy berkata, kini lebih 110 negara sudah merekodkan peningkatan kes Covid-19 yang disebabkan oleh dua subvarian berkenaan.
“Jangan ambil ringan situasi ini. Ramai di sekeliling kita yang tidak dijangkiti Covid-19 sepanjang dua tahun lepas kini telah dijangkiti.
“Selain Malaysia, negara jiran seperti Singapura dan Indonesia juga mengalami peningkatan kes,” ciapnya.
Justeru, Khairy menasihati orang ramai mengamalkan pemakaian pelitup muka di tempat tertutup dan kawasan sesak serta amalkan langkah uji, lapor, maklum, asing dan dapatkan rawatan (TRIIS).
“Dapatkan dos penggalak terutama kepada warga emas dan golongan berisiko tinggi,” katanya.
Subvarian Omicron BA.4 dan BA.5 kini dilihat sedang merebak di beberapa negara termasuk Asia seperti Thailand, Filipina, India selain Malaysia, Indonesia dan Singapura. – Malaysiapost


