DESAKAN Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung pengisian kekosongan jawatan Menteri Kabinet, hanya akan menyebabkan politik negara semakin tidak stabil.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata ia kerana jika permintaan itu tidak dipenuhi, Perdana Menteri akan terus diugut dan ditekan.
Beliau berkata, antara bentuk ugutan yang boleh berlaku ialah menarik sokongan, Menteri Bersatu tidak beri kerjasama dalam Kabinet, tidak ikut arahan atau buat keputusan bercanggah dengan Perdana Menteri.
“Akhirnya Muhyiddin dapat jumpa Perdana Menteri. Sudah tentu Muhyiddin menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan mendesak tempat Zuraida (Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin) diisi segera oleh calon dari Bersatu.
“Katanya Muhyiddin mahu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu jadi TPM kerana dia Timbalan Presiden Bersatu. Bukan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Azmin mesti marah. Politik bertambah tidak stabil,” katanya di Facebook.
Mohd Puad mendakwa, Muhyiddin mahu isu kekosongan jawatan itu diselesaikan segera adalah untuk elak lagi ramai Ahli Parlimen Bersatu menjadi ‘katak’.
Selain itu, beliau turut mendakwa bahawa Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Ketua Angkatan Anak Muda Bersatu (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kini bersaing untuk isi tempat Zuraida.
“Wan Ahmad Fayhsal dan Wan Saiful sama sama bersaing untuk isi tempat Zuraida. Antara dua Wan ini, siapa hati kecil,” katanya. – Malaysiapost

