Beri perhatian isu kesihatan mental rakyat – Zahid

0
2
updated

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata isu kesihatan mental dan tekanan hidup wajar diberi perhatian sewajarnya oleh pihak berwajib bagi mengelak lebih banyak insiden jenayah dan bunuh diri berlaku.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, berkata beliau pernah membangkitkan kebimbangan berhubung isu tekanan hidup pasca pandemik Covid-19 yang menekan rakyat, sebelum ini

“(Ketika ini) banyak insiden bunuh diri atau cubaan bunuh diri dilaporkan termasuk terjun jambatan dan gantung diri.

“Pandemik telah memberi kesan yang sangat besar kepada sebahagian anggota masyarakat. Justeru, saya ketika itu menyarankan kajian mendalam dilakukan pihak berwajib untuk memahami keadaan sebenar.

“Sesuatu perlu dilakukan untuk menghentikannya kerana nyawa setiap insan adalah berharga,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, Ahmad Zahid menzahirkan rasa sedih berhubung insiden seorang bapa yang dipercayai mengelar anak dan isteri di Johor Bahru, Johor, semalam.

Ahmad Zahid berkata, beliau juga terbaca pelbagai pandangan masyarakat mengenai kejadian berkenaan di media sosial, termasuk dakwaan insiden berlaku disebabkan tekanan hidup dan seumpamanya.

“Namun, kita serahkanlah sepenuhnya kepada pihak polis yang sedang melakukan siasatan. Kita yakin insiden itu akan terungkai dalam masa terdekat untuk masyarakat mengetahui punca sebenar.

“Punca kejadian mustahak untuk difahami kerana sesuatu perlu dilakukan jika benar disebabkan tekanan hidup,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengucapkan takziah dan bersimpati terhadap ahli keluarga mangsa.

“Semoga mereka tabah menghadapi kehilangan dan saya berdoa semoga roh kedua-duanya dirahmati Allah SWT,” katanya.

Semalam media melaporkan, seorang lelaki menunggang motosikal dalam keadaan berbogel selepas dipercayai mengelar isteri dan anak lelaki berusia dua bulan di rumahnya di Kampung Bakar Batu, Johor.

Suspek ditahan di kawasan Permas Jaya, selepas gambar dan videonya menunggang motosikal dalam keadaan bogel tular di media sosial sejak tengah hari. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here