BEKAS calon bebas tertua Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 dan PRU-13, Maimun Yusof atau lebih dikenali sebagai Tok Mun meninggal dunia akibat sakit tua, semalam.
Maimun, yang berusia 103 tahun meninggal dunia di rumahnya di Kampung Sungai Atas Tol, Kuala Terengganu kira-kira jam 3.30 petang.
Menurut cucunya, Tuan Norazlina Tuan Lah, 51, kesihatan arwah neneknya itu merosot sejak empat bulan lalu selepas disahkan menghidap sakit buah pinggang.
“Kami sekeluarga baru menyambut ulang tahun kelahiran nenek yang ke-103, 24 Jun lalu dan ketika itu arwah disahkan mempunyai masalah kesihatan.
“Doktor memaklumkan dia mengalami kebocoran pada bahagian buah pinggang, kerosakan pada organ hati dan kanser.
“Saya menerima panggilan daripada salah seorang ahli keluarga yang menjaga arwah hari ini memaklumkan nenek sudah menghembuskan nafasnya ketika berehat di rumah,” katanya memetik Utusan Malaysia.
Tuan Norazlina berkata, arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Atas Tol, hari ini.
Untuk rekod, Maimun pernah bertanding dalam PRU-12 dan PRU-13 sebagai calon bebas bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu namun tewas kedua-dua PRU. – Malaysiapost

