TINDAKAN kerajaan dalam menangani isu inflasi serta kos sara hidup rakyat ketika ini dilihat mengelirukan, kata Profesor Ekonomi UKM-Graduate School of Business, Prof Tan Sri Noor Azlan Ghazali.
Beliau yang juga Ahli Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) itu berkata, ini kerana pada 24 Jun lalu, Ketua Perangkawan melaporkan inflasi makanan melonjak 5.2 peratus bermakna hampir 93 peratus item makanan yang dipantau merekodkan kenaikan harga.
“Manakala 27 Jun, 2022, Menteri ekonomi memaklumkan Jabatan Perangkaan menganggarkan kadar inflasi akan mencecah 11.4 peratus sekiranya subsidi dihapuskan.
“Pada 30 Jun, 2022 pula Gabenor Bank Negara melaporkan kadar inflasi keseluruhan ialah 2.8 peratus. Jadi, umumnya, kadar inflasi yang rendah, dalam julat purata Malaysia. Tidak merisaukan,” katanya menerusi Facebook.
Noor Azlan berkata hari ini pula, Perdana Menteri juga menyakinkan rakyat bahawa kerajaan tidak peluk tubuh menangani kenaikan kos sara hidup yang semakin menekan.
Justeru, beliau merasai ramai yang keliru dengan kenyataan-kenyataan berkenaan dan mempersoalkan sama ada tindakan kerajaan ketika ini adalah untuk menangani inflasi atau kos sara hidup. – Malaysiapost

