SEORANG bapa yang mengsyaki anaknya menghisap dadah, cedera di muka apabila di tumbuk bertubi-tubi oleh anak kandungnya dalam kejadian di Kampung Indah Permai, Tasek Permai, Ampang pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata kejadian berlaku pada jam 10.30 malam membabitkan warga emas berusia 63 tahun yang cedera di dahi dan kelopak mata Kiri.
Menurutnya, berlaku pertengkaran antara mangsa yang juga peniaga dengan anak lelakinya berusia 33 tahun dan bekerja sebagai penghantar barang.
“Dalam pertengkaran itu, suspek menumbuk kepala mangsa berulang kali menggunakan tangan.
“Suspek juga mengugut akan terus mencederakan mangsa sekiranya menghubungi polis,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati punca pertengkaran disebabkan mangsa tidak mempercayai kata-kata suspek dan mengsyaki suspek berada di bawah pengaruh dadah.
“Pihak polis yang tiba ditempat kejadian ketika kejadian berlaku terus membuat tangkapan terhadap suspek.
“Semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau dan hasil ujian saringan awal air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Menurutnya, suspek kini direman selama empat hari sehingga 4 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.
“Jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya. – Malaysiapost

