TUDUHAN mengatakan Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki tidak sensitif dengan masalah rakyat kerana mendesak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) disegerakan, hanyalah ‘sindrom ketakutan’ yang kini menjangkiti Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
Pengarah Komunikasi Pemuda Umno, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri, mendakwa selain refleksi kepada sindrom berkenaan, ia juga tindakan mempolitikkan kesengsaraan rakyat.
Menurutnya, harus difahami bahawa kenaikan harga barang di negara ini adalah tempias dari krisis yang melanda global dan Malaysia tidak terkecuali dari menerima kesannya.
“Melalui keprihatinan Perdana Menteri dari Umno untuk mengekang kesan krisis ini, kerajaan telah pun membelanjakan lebih RM77.3 billion sebagai bantuan subsidi iaitu satu jumlah subsidi kepenggunaan 2022 paling tinggi dalam sejarah negara.
“Sudah pasti perkiraan ini diambil kira sebagai indikasi kesesuaian PRU-15 diadakan secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Syed Mohd Johan mengulas mengenai kenyataan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil yang menyelar Asyraf Wajdi berhubung keperluan disegerakan PRU-15 yang dikatakan tidak sensitif dengan masalah dialami rakyat ketika ini.
Beliau mendakwa, memahami keadaan Fahmi yang mungkin berusaha mahu melewatkan PRU-15 kerana PKR dan PH kini sebenarnya dalam keadaan kucar-kacir dan tidak bersedia hadapi pilihan raya.
Katanya, pendirian rakyat yang jelas menolak PH dan PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sarawak dan Johor memberi gambaran jelas bahawa sebarang parti yang berkaitan PH adalah tidak lagi relevan untuk dipilih pada PRU-15 nanti.
“Tapi jika dilewatkan PRU-15, harapan yang cuma ada pada mereka adalah usaha mewujudkan ‘khemah besar’ yang masih samar kelihatan. Sebenarnya Fahmi dan PH takut berdepan dengan amarah rakyat terhadap mereka,” katanya.
Jelasnya, hakikat keperluan menyegerakan PRU-15 bukanlah diminta untuk memenangkan Umno atau Barisan Nasional (BN).
“Tapi bertujuan untuk mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih sebuah kerajaan yang mereka yakini mampu memulih dan menstabilkan kembali negara, sekaligus mengembalikan kesejahteraan hidup yang hilang sejak PRU-14 dulu.
“Saya harap Fahmi, harus bersikap rasional dan adil kepada rakyat dengan menghormati mengembalikan hak mandat kepada mereka untuk memilih sebuah kerajaan yang lebih kuat, stabil dan terbukti berkebolehan mentadbir.
“Sekaligus memulih serta mengembalikan kestabilan negara ini. Usah takut berdepan semula demokrasi dan mandat rakyat,” katanya . – Malaysiapost

