Ambil peluang kembangkan produk halal di peringkat Asean – MB Kedah

0
1

USAHAWAN Bumiputera diseru supaya bersiap sedia dalam apa jua keperluan untuk mengembangkan perniagaan terutamanya dari segi pengeluaran produk halal.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata produk yang mempunyai pensijilan halal sudah tentu menjadi pilihan utama pembeli.

Katanya, ia memandangkan bahan yang digunakan adalah halal dan proses pengeluaran juga mematuhi keperluan pensijilan halal yang amat mementingkan kebersihan.

“Saya juga ingin menyeru kepada usahawan terutamanya usahawan Bumiputera supaya bersiap sedia dengan apa jua keperluan untuk memgembangkan perniagaan dalam segmen ini.

“Walaupun pada dasarnya orang Islam amat mementingkan status halal sesuatu produk, termasuk para usahawan sendiri namun dalam urusan bisnes, segala prosedur dan urusan dokumentasi yang diperlukan masih perlu dipenuhi.

“Dalam pasaran terbuka, dan dengan matlamat untuk produk kita diterima secara lebih meluas, segala aspek ini perlu dititikberatkan dan memerlukan persediaan yang lebih awal,” katanya dalam perasmian Asean Halal Expo (AHEX) 2022, di Asean Mall, Pattani, Thailand hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, sepanjang tempoh AHEX 2022 yang berlangsung selama lima hari itu, pengguna atau pembeli boleh mendapatkan pelbagai produk dan perkhidmatan berkaitan halal di bawah satu bumbung.

Menurutnya, semua pempamer dari Malaysia telah mempunyai pensijilan halal yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan para pengunjung tidak perlu was-was untuk membeli-belah pameran tersebut.

Dalam masa sama, katanya sektor keusahawanan di Malaysia khususnya Kedah juga telah mendapat faedah apabila rangkaian produk-produk tempatan dapat menembusi pasaran Thailand melalui ekspo antara dua negara.

“Kita sedia maklum bahawa pelancong dari negara-negara Islam terutamanya dari Asia Barat amat peka dalam soal halal sesuatu produk.

“Di Kedah kita berupaya mendapatkan hotel dan restoran yang yang mendapat pengesahan pensijilan halal yang akan memudahkan pelancong untuk makan dan minum.

“Menyedari hakikat ini, Kerajaan Kedah amat komited dalam usaha meningkatkan pembangunan usahawan di negeri ini sehingga mampu mencapai tahap global, khususnya dalam pengeluaran dan pemasaran produk halal,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata usahawan perlu memanfaatkan peluang yang itu untuk memajukan usaha masing-masing sekali gus meningkatkan ekonomi ummah menerusi rantaian perniagaan dan peluang pekerjaan.

Katanya, ia kerana Malaysia sememangnya terkenal di seluruh dunia dalam bidang industri halal yang merangkumi aspek perundangan dan peraturan; infrastruktur industri halal; serta kesedaran penduduk tentang aspek halal.

“Pensijilan halal dari Malaysia diakui oleh seluruh komuniti industri halal global.

“Dalam hal ini, apa yang paling penting ialah nilai-nilai baik yang perlu kita amalkan secara istiqamah dalam pengurusan perniagaan. Ini termasuk konsistensi dalam mengutamakan dan meningkatkan kualiti produk,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here