POLIS sedang mengesan penunggang motosikal dalam keadaan khayal dipercayai menghidu gam seperti yang tular dalam klip video di media sosial Facebook, semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof, berkata klip video berdurasi 40 saat itu, tular di Facebook dan dikongsikan halaman ‘Mynewshub’ kira-kira jam 6.30 petang semalam memaparkan sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki yang disyaki berada dalam keadaan khayal.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku di Kilometer 267 Lebuhraya Utara-Selatan menuju arah selatan di sini melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha FZ150 berwarna hitam tanpa nombor pendaftaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Nanda berkata, klip video itu memaparkan lelaki yang menunggang motosikal itu tidak menghiraukan aspek keselamatan jalan raya dengan tidak memakai helmet sambil ‘asyik’ menghidu gam.
“Dalam rakaman tersebut juga turut memaparkan suspek yang menunggang motosikal tanpa memakai helmet sedang memegang sambil menghidu bungkusan plastik di tangan kirinya, disyaki sedang melakukan perbuatan menghidu gam,” katanya.
Sehingga kini menurutnya, suspek terlibat sedang giat dikesan dan dikenalpasti serta siasatan lanjut masih dijalankan.
“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini, boleh menyalurkan maklumat tersebut ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di talian 06-6033222 untuk tindakan lanjut oleh pihak polis,” katanya. – Malaysiapost

