PENGARAH Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar menerima kritikan hebat susulan saranannya supaya orang ramai mengurangkan pengambilan telur berikutan kenaikan harga makanan berkenaan.
Klip video kenyataan Norena yang mengulas harga telur ayam selepas membuat pemantauan di sebuah pasar di Melaka semalam, menjadi tular di media sosial selepas mendapat kecaman hebat netizen.
Dalam klip video itu, Norena meminta rakyat memahami situasi kenaikan harga barang disebabkan inflasi yang melanda dunia ketika ini.
“Kalau boleh kita sebagai penggunakan. Kalau kita dah tahu harga telur tinggi. Kalau boleh kita kurangkan sikit makan telur.
“Kalau seminggu kita makan lebih kurang 20 biji. Kita kurangkan jadi 10 hingga 15 biji. Tak ada masalah, itu adalah cara, gaya hidup kita,” katanya.
Susulan itu, netizen menghamburkan perasaan tidak berpuas hati dengan kenyataan Norena yang disifatkan tidak masuk akal dan tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang pengarah agensi kerajaan.
Malah, netizen mengecam ‘nasihat’ Norena itu kerana telur merupakan sumber protein yang paling mampu dibeli rakyat dan tidak sepatutnya perlu mengurangkan pengambilan makanan berkenaan.
“Telur pun dah habis murah. Dah tu nak makan apa lagi?
“Buat malu orang Melaka je. Kenyataan macam ni tak patut keluar dari seorang pengarah
“Senang betul jawapan dia. Telur sumber protein paling murah orang boleh dapat.
“Kalau macam ni jawapan pengarah, aku pun boleh,” komen netizen. – Malaysiapost
Kunjungi bahagian Resam Hidup untuk baca cerita yang terkini dan menarik





