PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyerahkan kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) untuk membincangkan waktu bekerja empat hari dalam seminggu.
“Terserah kepada Kementerian Sumber Manusia untuk berbincang mengenai perkara itu, kita serahkan kepada menteri untuk bincang dengan MTUC,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan MTUC di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, hari ini.
Perdana Menteri berkata demikian mengulas mengenai kesediaan sektor pekerjaan khususnya jabatan kerajaan dengan saranan waktu bekerja empat hari dalam seminggu itu.
Jabatan Perkhidmatan Awam bulan lepas menubuhkan satu pasukan khas yang akan mengkaji pelaksanaan waktu bekerja itu, susulan tuntutan beberapa pihak yang inginkan kerajaan melihat perkara berkenaan dengan lebih terperinci.
Pada 22 Jun, media melaporkan kaji selidik oleh syarikat Qualtrics mendapati, sejumlah 62 peratus pekerja sepenuh masa di Malaysia lebih gemar fleksibiliti sepanjang empat hari bekerja dalam seminggu. – Malaysiapost

