DENDAM lama menjadi punca seorang lelaki mengalami kecederaan parah selepas ditetak empat lelaki dalam kejadian rusuhan bersenjata di Sungai Way, Petaling Jaya, semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 9.30 malam daripada isteri mangsa yang berusia 33 tahun.
Katanya, wanita itu mendakwa menemui mangsa, 33, dalam keadaan parah di belakang badan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati punca kejadian akibat dendam lama.
“Sehubungan itu, sepasukan anggota bertindak antara 12.30 tengah malam hingga 2 pagi, berjaya menahan lelaki 37 tahun di kawasan Sungai Way dan dua lagi suspek berusia 21 serta 36 tahun pula ditahan di pekarangan pusat perubatan di Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Fakhrudin berkata, semakan dibuat mendapati dua daripada suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau dan siasatan lanjut masih dijalankan.
“Mereka direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya . – Malaysiapost

