Kit Siang persoal Najib diundang berucap sebagai ‘negarawan’

0
1

VETERAN DAP, Lim Kit Siang mempersoalkan jemputan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Konvensyen Barisan Nasional (BN) Sabah bagi berucap dalam program bertajuk ‘Bicara Seorang Negarawan’ yang akan berlangsung Sabtu ini.

Beliau berkata, Najib yang mempunyai sabitan di mahkamah tidak sepatutnya dijemput untuk mewakili seorang negarawan.

“Perkara ini di mana seorang penjenayah yang telah disabitkan bersalah dan digambarkan sebagai seorang yang membawa malu kepada negara, yang telah dihukum penjara selama 12 tahun dengan RM210 juta denda,

“..diundang untuk bercakap sebagai seorang ‘negarawan’ jelas sekali bertentangan dengan prinsip kebebasan sistem kehakiman dan kedaulatan undang-undang!,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kit Siang berkata, perkara aneh sedang terjadi dalam Barisan Nasional (BN) dan Umno susulan beberapa pendedahan yang berlaku baru-baru ini.

Ujar beliau, antaranya pendedahan mengejut bekas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengenai pemimpin parti itu yang bersetuju bahawa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu meletakkan jawatan sebagai Presiden Umno.

Katanya, Tajuddin juga berkata kumpulan pemimpin Umno itu merangka rancangan untuk Ahmad Zahid mengundurkan diri secara baik namun Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menarik diri dari rancangan ini.

“Apakah versi kisah Mohamad Hasan dan Najib mengenai cubaan rampasan kuasa dalam Umno ini pula?

“Kedua, dalam keterangannya di mahkamah, Ahmad Zahid memaklumkan Mahkamah Tinggi yang tiga Ahli Parlimen Umno telah meletakkan jawatan daripada Umno dan menyertai Bersatu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 untuk menyelamatkan diri mereka daripada disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Adakah ada sebarang kebenaran terhadap tuduhan ini?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menjelaskan mengenai keterangan Ahmad Zahid itu, selain ianya dibawa ke sidang Parlimen yang akan berlangsung Julai ini.

Sementara itu, Kit Siang berkata dakwaan Tajuddin berkenaan terdapat Ahli-ahli Parlimen Umno yang telah menandatangani Akuan Sumpah (SD) menyokong Datuk Seri Anawar Ibrahim sebagai Perdana Menteri juga perlu diteliti.

“MIC kelihatan seperti lebih berani berbanding dengan MCA untuk bercakap mengenai perkara ini di mana Ketua Penerangan Kebangsaan MIC, R. Thinalan, telah menyeru supaya tindakan yang berpatutan diambil terhadap Ahli-ahli Parlimen Umno yang terlibat,” katanya – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here