NASIB seorang wanita penghidap kanser yang gagal dalam permohanan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Menerusi hantaran Facebook, LZS memaklumkan telah menghubungi wanita itu yang dikenali sebagai Kak Long bagi mendapatkan maklumat lanjut keadaan kesihatannya.
“Zakat Selangor telah menghubungi pihak Kak Long untuk mendapatkan maklumat terperinci berkenaan keadaan beliau.
“InsyaAllah, kami akan cuba membantu beliau mengikut kelayakan had kifayah daripada hasil siasatan nanti,” katanya dalam hantaran itu.
Terdahulu, tular di aplikasi TikTok video milik pengguna bernama KakLong & Kay meluahkan rasa kesal kerana permohanan BKM tidak diluluskan, biarpun pemohon menghidap kanser.
Meninjau di ruangan komen, LZS menerusi akaun Zakat Selangor menulis ingin membantu wanita itu dari segi bantuan pihak zakat.
“Assalamuakaikum kaklong. Sungguh, sakit ini susah nak digambarkan, hanya tuan punya badan sahaja yang tahu. Apa cara yang kami boleh bantu?,” katanya.
Tindakan pantas LZS yang prihatin dengan masalah Kak Long menerima pujian netizen yang rata-rata mahu agar wanita itu mendapat pertolongan sewajarnya.
“Terbaik Zakat Selangor, mudahan dapat ringankan beban Kaklong,” kata Fatin Alcomey.
“Terima kasih Zakat Selangor masih ada kakitangan yang pantas mengambil berat,” kata Eriq Zaradaa. – Malaysiapost
Kunjungi bahagian Resam Hidup untuk baca cerita yang terkini dan menarik

