Pindaan tatacara jenazah Islam dan bukan Islam Covid-19

0
1

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan tatacara pengurusan jenazah Islam dan bukan Islam yang dijangkiti Covid-19 sudah disemak semula supaya ia relevan dengan situasi semasa.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata semakan semula itu sejajar dengan Resolusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ketiga Tahun 2021 yang bersidang pada 26 Julai 2021.

Menurutnya, dua waris dengan status vaksinasi lengkap kini dibenarkan untuk turut serta dalam proses pengendalian jenazah yang dijangkiti Covid-19.

Beliau berkata, waris berkenaan perlu memakai alat pelindung diri (PPE) dan perlu ditemani pengendali jenazah terlatih di hospital.

“Jenazah Islam dibenarkan untuk dimandi dan dikafankan dengan mengikuti amalan langkah berjaga-jaga seperti urusan mandi serta kapan dilakukan pengendali jenazah terlatih di hospital dengan pemakaian PPE lengkap dan bersesuaian.

“Hanya dua waris dengan status vaksinasi lengkap serta memakai PPE yang lengkap dan bersesuaian dibenarkan turut serta dalam urusan memandikan dan mengkafankan jenazah bersama pengendali jenazah yang terlatih di hospital.

“Selain itu, perlu elakkan aktiviti berunsur aerosol generating procedure (AGP) ke atas jenazah seperti menekan perut jenazah,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, bagi jenazah bukan Islam, sekiranya terdapat upacara ritual yang perlu dilakukan, prosedur perlu dilakukan seminimum mungkin dan dilakukan di lapisan paling luar beg mayat.

“Sekiranya prosedur ‘last rite’ memerlukan penukaran pakaian baharu, pakaian itu boleh diletakkan di atas badan jenazah tanpa membabitkan aktiviti AGP.

“Hanya dua waris dengan status vaksinasi lengkap serta memakai PPE lengkap dan bersesuaian dibenarkan turut serta dalam urusan prosedur last rite,” katanya.

Khairy berkata, selain itu antara tatacara pengurusan jenazah yang turut disemak semula adalah penggunaan satu beg mayat bagi setiap jenazah dijangkiti COVID-19 berbanding sebelum ini yang perlu menggunakan dua beg mayat bagi setiap jenazah.

“Untuk pengebumian jenazah, KKM tidak menetapkan jumlah waris boleh terbabit dalam proses pengebumian tetapi perlu memakai PPE bersesuaian.

“KKM juga tidak menetapkan jumlah kehadiran untuk menyaksikan proses pengebumian jenazah. Namun, KKM menggalakkan individu hadir untuk memakai pelitup muka dan elak bersesak,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here