Menanti ‘pawagam patuh syariah’ di Kelantan

0
1

Aiman Hanif

FILEM Mat Kilau, filem epik Melayu yang buat julung kalinya berjaya pecah panggung mencatat jualan tiket melebihi RM17 juta selepas beberapa hari tayangannya.

Buah tangan Syamsul Yusuf ini telah berjaya mengakat filem Melayu klasik sebagai naskah hebat yang telah mengembalikan semangat Melayu daripada terus layu.

Bahkan ramai penonton yang berbangsa Melayu mengenakan busana Melayu lengkap bertanjak ketika menyaksikan filem itu di pawagam.

Lebih mencuri tumpuan lagi apabila pemimpin PAS mula “masuk pawagam” untuk “menikmati” filem epik sarat dengan sejarah itu.

Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari, Ahli Jawatakuasa PAS Pusat, Nasrudin Hasan antara pemimpin PAS yang telah masuk panggung wayang bagi menonton filem Mat Kilau.

Maka, selepas dua figura PAS ini menontot filem Mat Kilau, bersilatlah pengendali Facebook Dewan Pemuda PAS bagi “menghalalkan” tindakan pemimpin mereka masuk pawagam.

Umum semua maklum PAS mengharamkan pawagam, Kelantan di bawah PAS sejak puluhan tahun tidak memiliki panggung wayang yang menyebabkan rakyat negeri itu terpaksa ke negeri Terengganu untuk menonton filem.

Begitu juga dengan Ketua Pemuda PAS kini yang semua tahu lantang menolak pembukaan pawagam di Kelantan.

Dua posting ataupun “dalil” terpaksa dikeluarkan pengendali Facebook Dewan Pemuda PAS kelmarin selepas ketuanya diserang bertalu-talu kerana masuk pawagam sedangkan mengharamkan pembukaannya di Kelantan.

Malah, Pemuda PAS mendakwa tidak haram untuk menonton wayang di pawagam, asalkan tidak buat maksiat.

Pelabagai “dalil” dikemukakan PAS bagi menghalalkan apa yang mereka haramkan sebelum ini kerana pemimpin mereka telah pecah tradisi masuk pawagam.

Kita bukan mahu persoal YB ingin menontot wayang, kerana YB juga manusia yang ada masanya ingin berhibur selagi mana tidak bertentangan dengan batasan agama.

Begitu juga rakyat, rakyat Kelantan juga mahu menikmati filem Mat Kilau, mereka juga mahu hiburan yang tidak melalaikan.

Mereka juga berhak menikmati apa yang YB nikmati dan menonton wayang seperti mana YB PAS.

Masyarakat hari ini telah berubah, mereka tidak jumud lagi. Janganlah kita melihat pawagam semata-mata untuk tempat maksiat, sebaliknya pawagam boleh menjadi pusat hiburan keluarga.

Pawagam hari ini dengan pelbagai kemudahan yang canggih tidak boleh lagi dilabel sebagai pusat maksiat bagi pasangan bukan mahram.

Kerajaan Kelantan boleh mengambil beberapa langkah yang sepatutnya jika mahu membuka pawagam di Kelantan bagi memastikan penonton tidak melakukan maksiat.

Mengasingkan jantina lelaki dan perempuan serta menghadkan filem yang ditayangkan supaya tidak mempunyai unsur maksiat ataupun lucah melampau.

Dengan kata lain Kelantan boleh memperkenalkan “pawagam patuh syariah” pertama di negara ini yang boleh dijadikan contoh.

Telah banyak projek-projek “patuh syariah” di Kelantan yang dilancarkan kerajaan negeri Kelantan termasuklah “hospital patuh syariah”.

Namun, sehingga hari ini ianya sekadar tinggal batu asas. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here