TINDAKAN segelintir pihak yang berlumba-lumba menyahut cabaran #makehimwannamarryme di aplikasi TikTok tidak boleh diambil ringan, kerana terdapat video yang dirakam di dalam masjid.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata beliau tidak dapat menerima perbuatan merakam aksi kanak-kanak di masjid bagi meraih tontonan di aplikasi itu.
“Sebab itulah, sukar untuk saya menerima wujudnya kejadian seperti video (tular) di masjid-masjid kita,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Marzuk berkata, anak kecil yang hadir ke masjid sama ada secara sukarela atau terpaksa, kesemuanya adalah permata yang perlu disantuni.
“Tahun ini sahaja, kita ada 6,850 buah masjid di seluruh negara. Sedihnya, di kebanyakan masjid-masjid ini, jarang untuk kita jumpa jemaah masjid yang melebihi satu atau dua baris saff untuk satu-satu solat jemaah.
“Maksudnya apa? Tak sampai 5-10 peratus pun jumlah penduduk setempat yang mahu ke masjid,” katanya di hantaran Facebook.
Ahmad Marzuk berkata, kehadiran golongan pesara dan warga emas ke masjid adalah pemandangan biasa, berbanding kumpulan anak muda.
“Tidak layak untuk kita bertanya di mana anak muda, jika kita sendiri menjadi jemaah yang tidak mesra anak kecil. Kesian sungguh anak-anak kecil ini, dijamu dengan tengkingan, marah-marah dan pandangan negatif jemaah yang lebih dewasa.
“Sikap kita inilah yang menghalang langkah anak remaja kita ke masjid walaupun masjid itu hanyalah di sebelah rumah mereka,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan agar tindakan mengasingkan peranan masjid dalam pendidikan anak-anak tidak lagi berlaku.
Katanya, masjid adalah tempat terbaik untuk membentuk anak-anak muda yang akan menjadi penyambung mata rantai perjuangan Islam.
“Mereka inilah yang akan menjadi benteng agama di saat anak-anak muda yang lain terbenam hanyut dengan arus hedonisme yang rancak menyerang pemikiran anak muda Islam,” katanya. – Malaysiapost

