SEORANG wanita kerugian RM37,361 selepas terperdaya dengan tawaran pekerjaan atas talian yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat.
Ketua Polis Daerah Padang Besar Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah, pihaknya menerima laporan dibuat mangsa pada jam 4.56 petang semalam.
Beliau berkata, mangsa berusia 26 tahun yang bekerja sebagai pembantu perawatan kesihatan terpedaya selepas melihat iklan pekerjaan atas talian itu di Facebook.
“Setelah melihat iklan terbabit, mangsa berurusan dengan individu yang memperkenalkan diri sebagai ‘Agnes’ kononnya dari syarikat ‘SP eCommerce’ untuk urusan tawaran kerja secara atas talian.
“Mangsa diperkenalkan dengan cara membeli pelbagai produk bagi menaikan rating dan mangsa dijanjikan imbuhan komisyen setelah barangan terjual,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa membuat lapan transaksi ke empat akaun bank yang diarahkan oleh suspek, namun apa dijanjikan tidak diperoleh, malah mangsa terpaksa menanggung kerugian membabitkan wang simpanan peribadi dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya.
Beliau berkata, hasil semakan mendapati telah terdapat tiga laporan polis ke atas nombor akaun bank diberikan suspek dan dua laporan polis ke atas nombor telefon digunakan sindiket penipuan itu ke atas mangsa lain.
“Modus operandi sindiket ini adalah dengan mengiklankan tawaran kerja yang mudah dan menguntungkan dalam masa singkat secara atas talian melalui medium media sosial.
“Mangsa pada mulanya akan diberikan pulangan dan setelah mangsa yakin, sindiket akan meningkatkan jumlah pembelian sehingga menyebabkan mangsa terjerat,” katanya.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan orang ramai dinasihatkan agar menggunakan aplikasi Semak Mule untuk menyemak nombor akaun bank dan nombor telefon sebelum sebarang urusan di dalam talian. – Malaysiapost

