BEKAS Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengakui dia ada mencium tangan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika bertemu sebagai tanda hormat.
Katanya tindakan itu bukan bermakna beliau perlu mengikuti segala arahan Ahmad Zahid tanpa perlu menegur kepincangan yang wujud dalam parti.
“Apabila dilantik sebagai ahli MKT, peranan saya jaga kepentingan parti, perjuangan parti itu tanggungjawab saya. Peranan dalam mesyuarat MT jika syor merugikan parti saya kena bersuara tak boleh diam.
“Masa Datuk (Seri) Najib (Razak) isu 1MDB saya bangkitkan, dia pun tak mahu dengar (cakap saya) tapi tugas saya bercakap.
“Banyak perkara dibincang sejak Zahid jadi Presiden. Saya tak ada soal peribadi pada dia, saya hormat pada dia. Kadang-kadang saya cium tangan dia, saya bukan malu nak mengaku, (tapi) sebab hormat pada dia,” katanya dalam sidang media di Petaling Jaya, semalam.
Minggu lalu Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak ditamatkan jawatan sebagai Ahli MKT Umno oleh Presiden parti itu.
Dalam kenyataan ketika ditemui media, Ahmad Zahid berkata Tajuddin tahu akan kesalahan yang telah dilakukannya sehingga menyebabkan dia digugurkan.
Dalam pada itu Tajuddin dalam sidang medianya semalam turut menggesa Ahmad Zahid supaya meletak jawatan kerana telah menjadi liabiliti kepada Umno.
Katanya, parti itu akan berdepan kekalahan sekiranya Ahmad Zahid masih memegang teraju Umno.
“Saya kata Ahmad Zahid ni sudah jadi liabiliti pada Umno tak boleh jadi presiden mengepalai Umno dalam PRU15 kita akan kalah.
“Tanya lah orang awam, tanyalah professor, tanyalah pengundi-pengundi, ketua bahagian ramai diugut-ugut nanti ada tak dapat watikah (jadi calon),” katanya.- Malaysiapost

