SECARA keseluruhan, unjuran perbelanjaan subsidi kepenggunaan bagi tahun 2022 yang setakat ini ialah RM77.3 bilion adalah jumlah subsidi tertinggi di dalam sejarah, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menurutnya, bagi mengurangkan tekanan inflasi terhadap rakyat, kerajaan telah memberi pelbagai subsidi kepenggunaan meliputi petrol, diesel, gas petroleum cecair (LPG), minyak masak, tepung dan elektrik.
Katanya, dengan kenaikan harga komoditi dan kadar inflasi ekoran gangguan kepada rantaian bekalan global dan konflik Ukraine-Rusia, harga barangan asas di seluruh dunia, termasuk Malaysia turut meningkat.
“Sehubungan itu, kerajaan menyediakan subsidi untuk meringankan beban Keluarga Malaysia.
“Subsidi menyeluruh (blanket subsidies) yang meliputi petrol, diesel, air dan elektrik, bukan sahaja dinikmati golongan B40, malah golongan M40 dan T20 juga mendapat manfaat yang besar.
“Yakinlah kerajaan akan sentiasa berusaha sebaik mungkin untuk membela nasib rakyat demi kesejahteraan kita semua,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Terdahulu dalam Laporan Kewangan Rakyat Ke-100 yang dikeluarkan semalam, Tengku Zafrul berkata, apabila ditambah dengan bantuan lain seperti bantuan kebajikan masyarakat, bantuan pertanian, nelayan dan sebagainya, jumlah keseluruhan subsidi dijangka akan menghampiri RM80 bilion bagi tahun 2022.
Menurutnya, kerajaan bagaimanapun tetap melaksanakan dasar yang secara amnya bertujuan membendung inflasi bagi mengelakkan kenaikan harga terlalu mendadak, dan pada masa sama membantu golongan yang perlu dari segi bantuan langsung.
“Dasar ini dilihat telah menghasilkan satu situasi yang dikira terkawal, terutamanya apabila dibandingkan dengan negara-negara lain,” katanya.
Menurutnya, kajian penamatan subsidi menyeluruh dan penyaluran semula penjimatan tersebut kepada golongan yang benar-benar memerlukan adalah sebahagian dari strategi kerajaan untuk memastikan kemampanan fiskal negara dalam jangka sederhana dan panjang.
“Umum mengetahui bahawa sejumlah besar dana kerajaan telah dibelanjakan bagi menangani impak pandemik, termasuk menyelamatkan nyawa rakyat melalui program vaksinasi kebangsaan, serta mengekalkan pekerjaan dan kapasiti perniagaan melalui program subsidi upah.
“Dalam usaha membina semula dana dan daya tahan fiskal negara, penamatan subsidi menyeluruh mencerminkan sikap adil dan bertanggungjawab kerajaan dalam memastikan nasib golongan B40 terbela,” katanya.
Beliau berkata, pada masa sama, Kementerian Kewangan juga sedang mengkaji semula sumber-sumber fiskal negara yang perlu dimantapkan bagi membina semula daya tahan sosio-ekonomi Malaysia, terutamanya bagi golongan B40 dan M40.
“Pandangan jauh kerajaan ini juga bertujuan mengurangkan beban keberhutangan anak-anak dan cucu-cucu kita di masa hadapan,” katanya. – Malaysiapost

