PENDIRIAN Umno bahawa tidak akan ada sebarang kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), membuktikan yang menolak perpaduan ialah pencinta kleptokrat dalam Umno, kata Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Menurutnya, kenyataan dan alasan yang dibuat Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan, mengenai status penyertaan Bersatu ke dalam Muafakat nasional (MN) baru-baru ini, mengesahkan perkara itu.
“Dengan kenyataan Shahril Hamdan ini, maka sahihlah bahawa yang menolak perpaduan ialah pencinta kleptokrat dalam Umno. Selepas ini jangan berhelah lagi seolah-olah mahukan perpaduan.
“Lengkap dengan alasan-alasan yang baru dicipta. Adakah ini pandangan rasmi MN setelah dibawa bermesyuarat? Atau pencinta kleptokrat memandai-mandai cipta alasan tanpa bermesyuarat?
“Kluster mahkamah Umno memang terkenal dengan perangai ‘Abang Long’ yang mendominasi keputusan, berlagak seperti suara mereka adalah suara semua. Bila pula MN putuskan sedemikian, atau unilateral sahaja?” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Shahril dalam maklum balasnya kepada persoalan yang dibangkitkan Wan Saiful mengenai status penyertaan Bersatu ke dalam MN selepas dijemput dua tahun yang lalu, mendakwa Bersatu tidak diterima lagi kerana tidak jujur dalam bekerjasama.
Beliau mendakwa, keadaan itu juga berpunca daripada tindakan Bersatu mendaftarkan Perikatan Nasional (PN) tanpa sebarang perbincangan bersama Umno, selain mendakwa Bersatu ditubuhkan untuk mengganti Umno, manakala PN pula bertujuan mengganti Barisan Nasional (BN).
Menjawab dakwaan itu, Wan Saiful berkata PN mula berfungsi sejak Februari 2020 dan didaftarkan pada 7 Ogos 2020, sedangkan surat jemputan untuk Bersatu masuk MN pula bertarikh 13 Ogos 2020.
“Maksudnya jemputan tu selepas PN sudahpun ditubuhkan. Kalau betul tak setuju PN ditubuhkan, kenapa jemput masuk MN selepas PN tertubuh?
“Masa bos kamu Zahid Hamidi (Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) tandatangan surat jemputan, dia terlupa bahawa dia sepatutnya marah ke?
“Kalau nak cipta alasan bagi pihak bos kamu Zahid Hamidi sekali pun, periksa la tarikh tu dulu. Jangan senang sangat ‘kantoi’,” katanya.
Beliau berkata, kenyataan dibuat Shahril itu adalah bukti tuntas bahawa yang menjadi masalah dan menghalang perpaduan ialah pencinta kleptokrat dan pengikut kluster mahkamah.
“Jangan nak salahkan orang lain pula.
“Apa lagi alasan dan cerita yang nak direka-reka selepas ini?” sindirnya. – Malaysiapost

