MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun menyifatkan penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak Wanita Global 2022, di Bangkok, Thailand adalah satu kejayaan yang membanggakan.
Beliau yang mengetuai deligasi Malaysia ke forum itu yang bermula 23 Jun lalu, berkata ia mencerminkan kuasa pemimpin wanita, dan peranan yang dimainkan di negara masing-masing dalam memperkasakan ekonomi Wanita.
Menurutnya, forum perniagaan dan ekonomi antarabangsa tahunan itu menghimpunkan pemimpin wanita membabitkan 650 perwakilan dari 52 negara.
“Ini adalah platform terbaik Malaysia menyerlahkan usaha-usaha yang telah dilaksanakan dalam memperkasakan ekonomi kaum wanita di Malaysia.
“Saya berbangga dan berbesar hati apabila membentangkan inisiatif Wanita Bangkit Kementerian Pembangunan, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang diformulakan untuk membantu ekonomi kaum wanita Malaysia pasca Covid-19 mendapat pujian kerana memberi impak kepada masyarakat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, peserta-peserta meja bulat berminat untuk belajar dari Malaysia bagaimana program itu membantu wanita dalam keusahawanan selain memantau perkembangan mereka dari semasa ke semasa.
Menurutnya, pada masa yang sama, Vietnam juga menunjukkan minat yang mendalam untuk bekerjasama dengan Malaysia.
“Malaysia dan Vietnam akan bekerjasama rapat untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam ekonomi.
“Antara yang saya bincangkan bersama Naib Presiden Vietnam, Vo Thi Anh Xuan Vietnam termasuk mempromosikan kesaksamaan gender, pemerkasaan wanita dan perlindungan sosial untuk wanita dan remaja,” katanya. – Malaysiapost

