PM tidak faham kenapa pemborong masih jual ayam RM8.90

0
1

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melakukan tinjauan mengejut untuk melihat sendiri harga barang yang dijual di salah sebuah pasar raya di ibu negara hari ini. 

Berkongsi di laman Instagram miliknya, Perdana Menteri memuat naik klip video beliau sedang melakukan tinjauan secara mengejut bagi memantau barangan makanan seperti sayur, ikan dan ayam di pasar raya berkenaan. 

Perdana menteri turut meluangkan masa bertanyakan hal berkenaan kepada para pembeli yang mengambil kesempatan cuti hujung minggu untuk membeli belah barangan di pasar raya tersebut. 

“Saya ambil peduli, saya lihat dan check sendiri. Sekarang saya berada di sebuag pasar raya di tengah ibu kota tinjauan secara mengejut untuk pantau harga barang terkini. 

“Saya turut bertanya terus kepada pembeli yang hadir hari ini kerana hujung minggu pasti ramai keluarga yang mengambil masa untuk membeli barang keperluan,” katanya. 

Dalam tinjauan itu, Ismail Sabri tidak berpuas hati berhubung harga ayam yang masih dijual melepasi harga siling meskipun kerajaan masih memberi subsidi kepada penternak. 

“Ayam misalnya, kita masih beri subsidi hari ini sampai 30 Jun. Saya tidak faham kenapa pemborong jual pada harga RM8.90 sekilo. 

“Sebelum 30 Jun, masih lagi harga yang disubsidi oleh kerajaan, tidak sepatutnya harga RM8.90 daripada pemborong kepada peruncit. 

“….. Sepatutnya (harga ayam daripada pemborong) perlu lebih rendah sebab peruncit juga perlu mengambil keuntungan,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here