FILEM Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan yang sedang menjadi fenomena, bukan sahaja mendapat sambutan luar biasa peminat, malah turut memberikan tempias kepada para pelakonnya.
Sejak filem itu ditayangkan di pawagam 23 Jun lalu, nama Fattah Amin menjadi trending di Twitter berikutan lakonan mantap dipersembahkannya.
Kemunculan Fattah membuktikan lakonannya tidak ‘kayu’ lagi malah mendapat pujian netizen.
Pengiktirafan netizen itu membuktikan suami kepada aktress Fazura itu sememangnya memiliki bakat dan tidak seperti sebelum ini yang sering mendapat kritikan hanya bersandarkan kepada rupa paras yang kacak untuk kekal dalam industri.
Ramai dalam kalangan peminat dan penonton filem itu kagum dengan persembahannya membawakan watak Awang dalam filem arahan Syamsul Yusof itu sekaligus membuktikan Fattah bukan lagi ‘pelakon kayu’ seperti diperkatakan sebelum ini.
Meninjau beberapa perkongsian di media sosial, netizen menyifatkan lakonan Fattah sudah banyak menunjukkan kemajuan malah ia antara watak cukup meninggalkan kesan dalam filem tersebut.
Netizen menyifatkan lakonannya itu berbeza berbanding watak-watak yang pernah dilakonkan sebelum ini.
“Seorang lelaki dari ‘pelakon kayu’ sekarang menjadi Hawkeye Tanah Melayu. Kena terima Fattah sudah tidak kayu. Gerakannya memang tepat.
“Fattah Amin membuktikan manusia berubah. Selain Beto, Fattah Amin sangat bagus dalam Mat Kilau. Dia curahkan segalanya dalam filem ini,” komen netizen.
Dalam filem tersebut, Fattah memegang watak Awang, rakan seperjuangan Mat Kilau lakonan Datuk Adi Putra dan ia digambarkan sebagai seorang yang hebat memanah.
Selepas tiga hari tayangan, Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan dikatakan telah berjaya mencapai kutipan box office melebihi RM3 juta. – Malaysiapost

