DUA lelaki cedera diserang tiga beranak dalam kejadian pergaduhan yang dikatakan berpunca akibat perebutan parkir di hadapan sebuah premis di Jalan 21/1A, Damansara Utama, Petaling Jaya, semalam.
Kejadian jam 1.10 tengah hari itu, menyebabkan seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga pemilik premis berkenaan bersama rakannya mengalami kecederaan ringan di tangan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang mendakwa diserang dua lelaki dan seorang wanita tempatan.
“Kejadian berlaku apabila pengadu meletakkan kereta Toyota Vios di lot parkir hadapan kedainya dan tiba-tiba seorang lelaki tua tempatan menjerit serta memanggilnya turun dari kedai sebelum berlaku pertengkaran mulut antara mereka.
“Isteri lelaki tua itu kemudian memarahi dan membaling telur ke arah mangsa serta rakannya. Selepas itu, datang pula anak lelaki pasangan terbabit memarahi mangsa dan rakannya sambil memegang tukul besi serta mengugut untuk merosakkan kereta mangsa.
“Berlaku pergelutan antara kelima-lima individu menyebabkan mangsa dan rakan mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohamad Fakhrudin berkata, ketika pergelutan berlaku, anak pasangan terbabit yang berusia 31 tahun turut memegang pisau pemotong daging dan alat pemadam api.
“Susulan laporan diterima, polis menahan lelaki itu pada jam 4.30 petang, dan siasatan mendapati punca kejadian adalah disebabkan perebutan lot parkir.
“Polis turut merampas tukul besi, pisau dan alat pemadam api yang dipercayai digunakan semasa kejadian,” katanya.
Menurutnya, polis mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 324/506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan mendatangkan kecederaan. – Malaysiapost

