Tingkatkan kemahiran, jangan terlalu bergantung pekerja asing – PM

0
1

PERUSAHAAN di negara ini perlu meningkatkan penggunaan teknologi dan kemahiran tenaga kerja bagi mengurangkan kebergantungan berlebihan terhadap pekerja asing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, berkata perusahaan kecil dan sederhana (PKS) khususnya disaran mengambil peluang pelbagai kemudahan kewangan dan dana serta geran disediakan pelbagai agensi kerajaan untuk menyokong automasi dan pendigitalan ke arah mencapai Industri 4.0.

Katanya, bagi rancangan jangka panjang, kerajaan akan bekerjasama dengan komuniti perniagaan dalam mengurangkan kebergantungan berlebihan kepada pekerja asing melalui penggunaan teknologi dan automasi, di samping meningkatkan kemahiran tenaga kerja peringkat domesti

“Kerajaan komited untuk bersama-sama pihak swasta dalam menangani isu kekurangan pekerja, ke arah menyokong pemulihan sektor perniagaan.

“Saya sudah meminta proses kelulusan permohonan pekerja asing disegerakan supaya tidak menjejaskan pemulihan ekonomi yang boleh menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepada industri dan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-76 Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di Melaka, hari ini.

Teks ucapan Perdana Menteri yang dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Ismail Sabri berkata, sektor swasta dan komuniti perniagaan perlu bekerjasama dalam mengurus dan mengatasi pelbagai cabaran.

Beliau menegaskan, kerajaan sentiasa mengalu-alukan pembabitan komuniti perniagaan untuk menghasilkan idea membina dan cara penyelesaian yang boleh dilaksanakan supaya perkembangan ekonomi serta perniagaan kekal mampan.

“Kerajaan terus komited meningkatkan iklim pelaburan yang mesra perniagaan dan kondusif.

“Dasar ekonomi, perniagaan, pelaburan dan kewangan yang lebih baik akan memberi dorongan kepada sektor swasta meningkatkan daya saing, pelaburan domestik dan kapasiti produktiviti,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, pembukaan semula sempadan sejak April lalu setelah negara berada dalam fasa peralihan ke endemik, akan meningkatkan sentimen pengguna dan keyakinan perniagaan.

Beliau berkata, aktiviti ekonomi dan perniagaan telah mendapat semula momentum walaupun masih terdapat beberapa sektor seperti industri pelancongan dan penerbangan perlu mengambil masa lebih lama untuk kembali pulih.

Katanya, hasil daripada perbelanjaan pengguna yang lebih tinggi, ekonomi Malaysia terus berada dalam landasan tepat dengan mencapai perkembangan sebanyak 5.0 peratus pada suku pertama 2022. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here