UMNO menggesa kerajaan segera menangani isu kenaikan harga barangan makanan asas rakyat secara holistik, termasuk mempertimbangkan cadangan untuk mewujudkan Lembaga Unggas Negara.
Setiausahanya Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata penubuhan lembaga itu bagi membolehkan isu ayam dapat diselesaikan secara menyeluruh.
“Iaitu dari aspek pengeluaran anak ayam, kos penternakan, kos dedak agar tidak mudah dimanipulasi oleh pihak kartel berkepentingan,” katanya dalam kenyataan media, malam tadi.
Dalam pada itu, Ahmad Maslan turut menegaskan agar subsidi bersasar yang direncanakan kerajaan perlu benar-benar memanfaatkan kelompok rakyat terbanyak yang susah dan derita akibat kenaikan kos sara hidup.
“Ini termasuklah tidak sewenangnya menarik balik subsidi yang diberikan hanya kerana kelemahan aspek penguatkuasaan,” katanya.
Beliau berkata, Umno juga mendokong keputusan kerajaan untuk menarik balik keputusan awal bagi pengapungan harga ayam di pasaran dan tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan air.
“Begitu juga komitmen kerajaan untuk terus menampung subsidi sebanyak RM5.8 bilion meskipun berlaku peningkatan tinggi kos bahan api dan kos penjanaan,” katanya. – Malaysiapost

