Tarif elektrik, air di Semenanjung kekal, harga ayam tidak diapungkan – PM

0
1

KERAJAAN hari ini memutuskan untuk tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan air di Semenanjung dan harga ayam di pasaran tidak akan diapungkan.

Dengan keputusan ini, kerajaan terus komited menampung subsidi sebanyak RM5.8 bilion, meskipun berlaku peningkatan mendadak kos bahan api dan kos penjanaan lain.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata dengan keputusan tersebut bermakna pemberian rebat 2 sen/kWj dikekalkan kepada semua pengguna domestik dan tiada surcaj dikenakan.

“Untuk itu, tiada kenaikan tarif elektrik kepada pengguna-pengguna domestik di Semenanjung.

“Pengenaan surcaj 3.70 sen/kWj juga dikekalkan kepada pengguna bukan domestik iaitu pengguna komersil dan industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, harga siling baharu akan diumumkan dalam masa terdekat oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

“Keputusan yang dibuat ini membuktikan keprihatinan kerajaan demi menjaga kepentingan Keluarga Malaysia agar tidak terbeban dengan peningkatan harga dan cabaran kos sara hidup,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan pengguna domestik dijangka dikenakan surcaj ke atas bil elektrik bulan depan berikutan kenaikan harga bahan api yang timbul daripada konflik Rusia-Ukraine yang bermula awal tahun ini. 

Kenaikan tarif elektrik dikatakan tidak dapat dielak kerana kos penjanaan elektrik meningkat mendadak dan pantas. 

Namun ahli ekonomi menyatakan keperluan golongan tertentu harus dipertimbangkan. 

Kenaikan tarif tidak dapat dielakkan disebabkan oleh permintaan tenaga melonjak, gangguan bekalan bahan api serta kekurangan minyak, gas dan arang batu yang semakin meningkat di peringkat global telah menyebabkan harga tenaga global melambung tinggi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here