PERSONALITI televisyen popular, Datuk Aznil Nawawi berjaya mengutip sumbangan lebih RM100,000 bagi membantu penyanyi Zamani Slam yang menghidap penyakit tulang belakang atau scoliosis sejak beberapa tahun lalu.
Inisiatif murni pengacara itu melancarkan kutipan amal daripada orang ramai telah ditutup pada 12 tengah malam tadi.
“Terima kasih atas keprihatinan anda. Sebaik tepat 12 malam ini, Paknil (Aznil) akan tutup kutipan dan umumkan jumlah penuh kutipan.
“Paknil sedang berbincang dengan pihak Zamani untuk penyerahan wang kutipan. Terima kasih semua! Anda semua memang luar biasa. Hanya Allah yang boleh membalas jasa dan budi baik kalian.
“Kita doakan segala urusan perubatan dan kesihatan Zamani dipermudahkan,” tulisnya dalam hantaran di Instagram.

Sementara itu, menerusi hantaran Insta Story, Aznil menunjukkan jumlah kutipan yang berjaya dikumpul selepas tabung bantuan itu ditutup jam 12 tengah malam tadi.
“Tabung bantuan untuk Zamani dah Pak Nil tutup ya. Itu adalah jumlah penuh yang dapat dikutip.
“Memang di luar jangkaan dan memang ramai sayangkan Zamani. Semoga Allah balas kebaikan kamu semua dengan rezeki yang berlipat kali ganda. Semoga dengan bantuan ini, Zamani dapat disembuhkan. Aminn,” tulisnya.
Turut dipaparkan kutipan dana membantu penyanyi itu mencecah RM101,103.84.
Semalam, Aznil menerusi Instagram dan Facebooknya memuat naik rakaman perbualannya dengan pelantun lagu Gerimis Mengundang itu sebagai bukti pertolongannya.
Menerusi perbualan tersebut, Aznil bertanya khabar perkembangan terbaharu kesihatan Zamani dan meminta maaf kerana membuat kutipan tanpa pengetahuan penyanyi itu.
Terdahulu, pengurus Zamani iaitu Aalan Ahmad meminta pihak yang mahu mewujudkan tabung dana untuk Zamani agar tidak berbuat demikian kerana penyanyi itu masih di peringkat awal rawatan.
Ianya kerana dia tidak mahu berlaku wujud aktiviti scammer (penipuan) yang mengambil kesempatan dengan membuka akaun palsu atas nama Zamani. – Malaysiapost
Kunjungi bahagian Hiburan untuk baca cerita yang terkini dan menarik

