“Kita mesti ingat kisah Adelina Lisao” – Steven Sim

0
1

AHLI Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong, menyuarakan rasa sedih dan kecewa dengan keputusan mahkamah membebaskan majikan yang dituduh menyebabkan kematian seorang pembantu rumah warga Indonesia, Adelina Lisao pada 2018.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP itu, berkata pada 10 Februari 2018, beliau dan pasukannya telah menyelamatkan Adelina dari rumah majikan selepas menerima maklumat bahawa ada pembantu rumah yang didera.

“Bila saya berjumpa dengan Adelina, dia berada dalam keadaan trauma, anggota badannya luka berdarah. Dia dipaksa untuk tidur di halaman rumah macam anjing.

“Saya sempat beritahu Adelina bahawa dia kini sudah selamat dan saya sebagai Ahli Parlimen Malaysia akan melindunginya.
Malam itu, Adelina tidur di atas katil buat kali pertama entah dalam berapa bulan.

“Tapi malangnya, itu juga kali terakhir Adelina tidur di atas katil. Dia meninggal dunia keesokan harinya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Steven Sim turut berasa marah kerana seorang gadis bawah umur yang diseludup masuk ke Malaysia sebagai mangsa pemerdagangan orang, kemudian didera dengan teruk dan akhirnya mati akibat kecederaan, tapi tiada pihak yang disabit sebarang kesalahan.

“Pada Disember 2021, saya telah membawa nama Adelina Lisao sekali lagi di Parlimen untuk mengingatkan diri saya sendiri dan seluruh anggota Parlimen tentang kezaliman yang berlaku ke atas Adelina Lisao.

“Saya akan sentiasa ingat kisah Adelina yang penuh tragedi dan terus melawan aktiviti pemerdagangan orang, tak kira warga luar negara yang diseludup masuk ke Malaysia mahupun warga Malaysia yang diseludup ke Cambodia melalui sindiket ‘job scam’ dan sebagainya.

“Kita mesti ingat kisah Adelina Lisao. Kita mesti sentiasa ingat kisah Adelina Lisao!” tegasnya.

Pada Rabu lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang melepas dan membebaskan seorang suri rumah daripada pertuduhan membunuh pembantu rumah warga Indonesia pada 2018.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Rhodzariah Bujang menolak rayuan pihak pendakwaan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi mengenai kes itu pada 18 April 2019.

Menurut Vernon, hakim perbicaraan Datuk Akhtar Tahir menggunakan budi bicaranya untuk melepas dan membebaskan S Ambika, 62.

Ambika didakwa membunuh Adelina Lisao, 28, di rumahnya di Medan Kota Permai 2, Bukit Mertajam, pada 10 Feb 2018. – Malaysiapost

Kunjungi bahagian Resam Hidup untuk baca cerita yang terkini dan menarik

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here