Kerajaan digesa tangguh kenaikan tarif elektrik

0
1

KERAJAAN digesa agar menangguhkan apa-apa bentuk kenaikan tarif elektrik sekurang-kurangnya sehingga krisis kekurangan bekalan yang menyebabkan kenaikan mendadak harga barangan keperluan pulih kembali.

Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata kenaikan tarif elektrik disaat pengguna sudah teruk diasak kenaikan harga barang keperluan lain pastinya sangat tidak wajar.

Menurutnya, pengumuman tambahan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) sebanyak RM100 dan RM50 juga akan sia-sia dan gagal membantu rakyat marhaen sekiranya kadar inflasi terus meningkat akibat kenaikan tarif elektrik.

“Tarif elektrik dijangkakan akan naik mulai 1 Julai. Tenaga Nasional Berhad (TNB), sepertimana syarikat tenaga yang lain di seluruh dunia sedang dihimpit oleh kenaikan kos pengeluaran akibat lonjakan harga arang batu melebihi 117 peratus sejak hujung tahun lalu.

“Namun, kenaikan tarif elektrik disaat pengguna sudah teruk diasak kenaikan harga barang keperluan lain pastinya sangat tidak wajar.

“Malah, sebarang peningkatan dalam kos tenaga elektrik pasti akan menyumbang kepada kenaikan kos operasi dan pengeluaran yang akhirnya akan turut ditanggung pengguna,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, TNB sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) gergasi dengan keuntungan terkumpul lebih RM52 bilion pastinya mampu untuk menyerap impak kenaikan kos bahan api dan kos operasi mereka.

“Buktinya, walaupun kos bahan api meningkat sebanyak 26 peratus sepanjang tahun 2021, keuntungan operasi TNB telah meningkat sebanyak 10 peratus (RM742 juta) untuk tahun tersebut.

“Justeru, demi melindungi pengguna, saya menuntut kerajaan untuk menangguhkan apa-apa bentuk kenaikan tarif elektrik sekurang-kurangnya sehingga krisis kekurangan bekalan yang menyebabkan kenaikan mendadak harga barangan keperluan pulih kembali,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here