Harga barang: ‘Bantuan RM100 dan RM50 boleh tahan berapa lama?’ – Guan Eng

0
1

KERAJAAN perlu mencari mekanisme untuk menurunkan serta mengawal harga barang dan bukan memansuhkan subsidi untuk memberi bantuan tunai bagi ‘mengawal’ kemarahan rakyat, berhubung keputusan itu.

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, berkata sepatutnya kerajaan menyelesaikan punca yang menyebabkan harga barang naik sehingga membebankan rakyat ketika ini.

Beliau juga menyelar tindakan kerajaan mengumumkan tambahan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) sebanyak RM100 bagi isi rumah dan RM50 untuk orang bujang, kerana ia bukan penyelesaian tuntas kepada isu yang membelenggu rakyat.

“Kerajaan Barisan Nasinonal/Perikatan Nasional memansuhkan subsidi ayam, telur dan minyak masak berbotol bermula 1 Julai.

“Untuk kawal kemarahan rakyat, Perdana Menteri (Datuk Seri) Ismail Sabri (Yaakob) umum tambahan BKM sebanyak RM100 bagi isi rumah, RM50 bujang untuk bantu rakyat.

“RM100 dan RM50 ini boleh tahan berapa lama? Nak beli minyak dulu atau ayam dulu atau telur atau simpan takut-takut bil elektrik naik? Selepas habis, macam mana rakyat biasa mahu tanggung kos sara hidup yang tinggi gila ni?,” soalnya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, Singapura mengumumkan pakej bantuan bernilai S$1.5 bilion atau RM4.7 bilion yang tujuh kali ganda lebih besar daripada pakej bantuan RM630 juga diumumkan kerajaan Malaysia kali ini.

“Bantuan kewangan RM630 juta ini mengecewakan bukan sahaja sebab jumlahnya yang kecil tetapi juga tidak menyeluruh membantu rakyat Malaysia dalam kumpulan M40 serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.

Semalam, kerajaan mengumumkan pemberian tunai tambahan menerusi BKM kepada golongan B40 yang terkesan dengan kos sara hidup susulan tiada subsidi harga ayam, telur dan kenaikan harga barang.

Perdana Menteri berkata, BKM yang diberikan dalam Belanjawan 2022 memanfaatkan seramai 8.6 juta penerima dengan isi rumah menerima sehingga RM2,500 pada tahun ini.

Menurutnya, bantuan itu adalah yang tertinggi setakat ini pernah diberikan oleh kerajaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here