FELCRA Berhad melalui anak syarikatnya FELCRA Processing & Engineering Sdn Bhd (FPESB) membangunkan sebuah kilang memproses santan sawit jenama SURI dengan kos RM3.5 juta.
Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, kilang pengeluaran secara komersial itu mampu menghasilkan 60 tan metrik santan sawit sebulan.
“Memandangkan permintaan tinggi terhadap santan sawit, FELCRA mengambil keputusan membuat pelaburan bagi membina kilang baharu ini dengan peningkatan kapasiti pengeluaran sekali ganda berbanding kilang lama.
“Pengeluaran santan sawit oleh FELCRA ini juga sebagai alternatif kepada santan kelapa yang merupakan idea yang sangat strategik kerana ia dapat mempelbagaikan pilihan kepada pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kompleks Industri FELCRA Processing & Engineering Sdn. Bhd. di Changkat Jong dekat Teluk Intan hari ini.
Jelas Mahdzir, pembinaan kilang pengeluaran santan sawit itu juga sebahagian inisiatif FELCRA Berhad dalam membantu pelan jaminan keselamatan makanan negara.
Tambahnya, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyediakan geran RM3 juta menerusi peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) bagi membina kilang tersebut.
Manakala baki kosnya menggunakan sumber dalaman FELCRA Processing & Engineering Sdn Bhd (FPESB).
“Sebelum ini kita ada sebuah kilang bagi memproses minyak kelapa sawit menjadi santan sawit secara manual sebagai kilang perintis yang beroperasi sejak 2012, tetapi sekarang kita bina kilang baharu dengan kapasiti pengeluaran lebih tinggi dan operasi kilang adalah automatik sepenuhnya,” katanya.
Kilang seluas lebih 1,400 meter persegi itu tambah Mahdzir, mula beroperasi 21 Jun lalu dengan keupayaan memproses 2.8 tan metrik santan sawit sehari.
Ia menggantikan kilang lama yang hanya mampu menghasilkan santan sawit 1.7 tan metrik sebulan sahaja.
Setakat ini produk Santan Sawit Suri mempunyai lima pengedar utama dan dijual di 40 lokasi pasar raya dan peniaga individu di Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Johor dan Pahang.
“Saya yakin kilang baharu ini akan meningkatkan pengeluaran dan bekalan santan sawit di pasaran yang sekaligus akan memenuhi keperluan permintaan terhadap santan sawit yang telah meningkat melebihi 100 peratus,” kata Mahdzir. – Malaysiapost

