Dakwaan Tun M atas Kepulauan Riau tiada asas undang-undang

0
1

KEMENTERIAN Luar Indonesia berkata, dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung Kepulauan Riau patut menjadi sebahagian daripada Malaysia tidak mempunyai asas undang-undang.

Menurut Jurucakap kementerian itu, Teuku Faizasyah, Kepulauan Riau diiktiraf sebagai wilayah Indonesia di peringkat antarabangsa.

“Ketika dunia sedang menghadapi banyak cabaran, seorang ahli politik kanan tidak sepatutnya membuat kenyataan tidak berasas yang boleh menjejaskan persahabatan,” katanya memetik laporan portal tempatan Tempo semalam.

Wilayah itu terdiri daripada hampir 1,800 pulau dan terletak antara Sumatera, Semenanjung Malaysia dan Borneo. Antara pulau utamanya ialah Batam dan Bintan.

Bercakap dalam sebuah kongres Ahad lalu, Dr Mahathir mencadangkan Malaysia menuntut semula Riau dan Singapura kerana berdasarkan sejarah, ia adalah ‘tanah Melayu’.

“Seharusnya kita tidak hanya menuntut agar Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh dikembalikan kepada kita, tetapi juga harus menuntut kembalinya Singapura dan Kepulauan Riau ke Malaysia sebagai tanah Melayu,” kata bekas Perdana Menteri itu.

Pada 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Dr Mahathir menarik balik permohonan semakan penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memutuskan Singapura mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh, yang turut dikenali sebagai Pedra Branca.

Putrajaya berkata, ia tidak meneruskan idea untuk mengkaji semula kedaulatan Pulau Batu Puteh selepas mempertimbangkan pandangan perunding undang-undang asing. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here