BEKAS Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak hari ini menyindir parti Gerakan susulan pengumuman parti itu mahu bertanding 35 kerusi Parlimen dan 62 Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Gerakan yang dulu parti komponen BN, kini sebahagian daripada parti-parti yang membentuk Perikatan Nasional (PN).
Menurut Najib, semasa bersama BN, Gerakan bertanding 11 kerusi Parlimen dan 31 kerusi DUN pada PRU14 atas tiket BN.
“Kini bersama PN, Gerakan berhasrat tanding 35 kerusi Parlimen dan 62 kerusi DUN pada PRU15 atas tiket PN.
“35 kerusi parlimen mana cukup? Ambillah 70 kerusi,” kata bekas Perdana Menteri itu menerusi hantaran di Facebooknya.
Sindir Najib, Gerakan mampu sapu bersih semua 70 kerusi sebagaimana mereka ‘sapu bersih’ semua kerusi yang ditanding di PRN Melaka.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tahun lalu, Gerakan menyatakan parti itu opitimis menyapu bersih semua kerusi ditandingi di negeri tersebut, namun sebaliknya kalah di semua kerusi terbabit. – Malaysiapost

