KUMPULAN rock legenda, Search sedang mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan saman RM500,000 yang dituntut oleh pihak Afjets Sdn Bhd.
Pengurus Search, Mozylir berkata, buat masa sekarang semua anggota Search sedang bercuti dan mereka akan mencari masa sesuai untuk berjumpa pada waktu terdekat.
“Saya tidak boleh komen banyak tentang tuntutan tersebut. Buat masa ini belum ada perbincangan secara rasmi antara anggota kerana mereka masih bercuti.
“Kami akan beri kenyataan dalam masa terdekat selepas semua duduk bersama dan kami akan cari jalan terbaik untuk selesaikan masalah ini,” katanya dipetik mStar, hari ini
Mozylir juga memaklumkan, pihaknya tidak ada masalah untuk terus bekerjasama dengan Afjets selepas ini jika ia jalan terbaik untuk menyelesaikan isu tersebut.
Pada masa sama, katanya, isu itu juga dilihat tidak mengganggu perjalanan kerjaya seni Search dan perancangan mereka mengadakan lebih banyak persembahan selepas ini.
“Jika mahu bekerjasama lagi dan itu adalah benda baik untuk selesaikan masalah rasanya kami terbuka. Tetapi perlulah ada terma dan syarat.
“Kami amat berbesar hati jika Afjets mahu bekerjasama kerana industri kita ini bukannya besar. Akan jumpa orang yang sama juga nanti.
“Bagaimanapun segalanya saya serahkan kepada Kid dan Din. Jika mahu bekerjasama lagi dan itu adalah benda baik untuk selesaikan masalah rasanya kami terbuka.
“Afjets mempunyai hubungan baik dengan Search sebelum ini. Mungkin ada sedikit salah faham. Tetapi apa yang berlaku tidak mengganggu perjalanan Search,” katanya
Sebelum ini media melaporkan, Afjets menuntut pembayaran saman daripada tiga anggota Seacrh iaitu Kid, Din dan Nasir susulan pembatalan Konsert Search 35 Tahun yang sepatutnya diadakan pada 2016.
Mahkamah Tinggi Shah Alam mengeluarkan perintah agar mereka membayar sebanyak RM500,00 pada 2017. – Malaysiapost

