SPRM perlu dirombak bagi pulihkan keyakinan – Guan Eng

0
1

PENGERUSI DAP, Lim Guan Eng menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dirombak secara besar-besaran bagi memulihkan keyakinan dan memperbaiki kedudukan dalam Indeks Persepsi Rasuah oleh Transparency International.

Beliau berkata, SPRM dilihat gagal menjalankan tanggungjawab dan tugas mereka selepas pendedahan saksi mahkamah melibatkan kes Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) dan Bestinet.

“Saksi daripada UKSB telah mendedahkan dia telah memberikan wang kepada beberapa Menteri dan termasuklah seorang bekas Perdana Menteri.

“Saksi ini adalah saksi pihak pendakwaan maka saksi juga adalah saksi SPRM sendiri, bagaimana SPRM boleh berlagak bahawa mereka tidak tahu tentang perkara ini dan hanya menyatakan akan membuka siasatan selepas perkara ini didedahkan di mahkamah dan setelah ditekan orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Guan Eng berkata demikian mengulas berhubung kenyataan SPRM akan membuka kertas siasatan terhadap penama yang dikatakan menerima wang dalam perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid.

SPRM dalam kenyataan berkata, agensi itu juga mengesahkan sudah menerima beberapa aduan terhadap individu terbabit yang tersenarai dalam satu lejar seperti dikemukakan di mahkamah dalam perbicaraan berkenaan.

Sementara itu, Guan Eng mempersoalkan tindakan mahkamah tidak membicarakan nama beberapa pemimpin yang disebut saksi berkenaan selain Ahmad Zahid.

“Takkan SPRM tidak tahu? Jika Zahid Hamidi didakwa di mahkamah kerana terima rasuah, mengapa mereka yang lain yang terima wang daripada UKSB tidak didakwa? Kalau Zahid Hamidi bersalah terima rasuah, mereka yang lain juga turut salah,” ujarnya.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan itu mendakwa SPRM sememangnya dijadikan senjata politik untuk manfaat pihak berkuasa.

“Adakah SPRM tidur atau sengaja mahu menutup perkara ini? Jika benar, lebih baik SPRM tukar nama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kepada Suruhanjaya Penutup Rasuah Malaysia.

“Tindakan SPRM sebegini rupa sangat mengecewakan dan jelas bahawa terdapat amalan dua darjat dan pilih kasih yang dilakukan oleh SPRM,” katanya.

Mahkamah Tinggi pada 16 Jun lalu diberitahu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga bekas Perdana Menteri turut menerima sumbangan dana politik RM1.3 juta daripada UKSB pada 2018.

Bekas pengurus pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun, 47, berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Ahmad Zahid ketika lejar syarikat itu dirujuk kepadanya semasa perbicaraan kes rasuah bekas timbalan perdana menteri itu berhubung projek Visa Luar Negara (VLN).

Selain Muhyiddin, lima nama ahli politik disebut ketika perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid iaitu Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Anifah Aman. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here