Malaysia sumbang 500,000 dos vaksin jenis Sinopharm kepada Laos

0
1

KERAJAAN Malaysia melalui Kerjasama antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Luar Negeri (KLN) telah menyumbangkan sebanyak 500,000 dos vaksin jenis Sinopharm kepada negara jiran Laos, dalam usaha untuk sama-sama meringankan beban dan kesukaran dalam menangani pandemik Covid-19.

KKM dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, memaklumkan vaksin berkenaan disumbangkan melalui pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Vientiane bagi menjayakan program vaksin di Republik Rakyat Laos.

“Sumbangan tersebut telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay, Vientiane, Republik Rakyat Laos pada jam 1.12 petang waktu Malaysia, hari ini.

“Ketibaan vaksin tersebut telah disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Laos, Mohd Aini Atan dan seterusnya diserahkan kepada Timbalan Menteri Kesihatan Republik Rakyat Laos, Dr Phaivanh Keopaseurt,” menurut kenyataan itu.

KKM memaklumkan, sumbangan itu merupakan sumbangan kedua daripada Kerajaan Malaysia kepada Laos setelah sumbangan pertama sebanyak 283,400 dos vaksin Astra Zeneca disumbangkan pada 8 Disember 2021 yang lalu.

“KKM berharap sumbangan ini dapat membantu usaha Republik Demokratik Rakyat Laos dalam menangani pandemik Covid-19 serta meningkatkan kadar vaksin di negara tersebut.

“Kerajaan melalui KKM dan Wisma Putra akan terus mengenal pasti dan membantu negara-negara yang mencatatkan kadar vaksinasi yang rendah melalui pemberian sumbangan vaksin Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here