Kekuatan DAP bukan pada pemimpin, tetapi akar umbi – Anthony Loke

0
1

KEKUATAN DAP bukan bergantung kepada mana-mana pemimpin individu sebaliknya semangat dan tunjang parti itu bergantung kepada ahli akar umbi dan penyokongnya.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata dalam sejarah perjuangan parti itu, ramai pemimpin malah tokoh yang sangat dikenali pernah meninggalkan DAP namun ia tidak menjejaskan parti tersebut.

“Kekuatan DAP bukan bergantung kepada mana-mana pemimpin individu. Pemimpin datang dan pergi.

“Dalam sejarah perjuangan DAP, ramai pemimpin malah tokoh yang sangat dikenali pernah meninggalkan parti, tetapi DAP tidak tumbang malah terus berkembang maju ke hadapan,” katanya menerusi Facebook.

Loke berkata, ahli akar umbi dan penyokong DAP adalah tunjang yang akan memastikan kesinambungan perjuangan parti itu.

“Justeru, setiap lapisan pimpinan DAP tidak akan berputus asa dalam perjuangan kita,” katanya.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Makan Malam DAP Pandan.

Sementara itu, Loke berkata, dalam kawasan Parlimen Pandan, DAP bertanding di DUN Teratai sejak pilihan raya 2004 dan berjaya memenangi kerusi tersebut sejak PRU12.

“Walaupun ADUN kawasan tersebut telah meninggalkan parti kita sejak tahun lalu kerana masalah peribadinya dan seterusnya melompat ke parti lain, DAP tetap komited untuk memberikan khidmat terbaik kepada penduduk di kawasan tersebut.

“Kita mempunyai sekumpulan pemimpin akar umbi yang sangat komited yang terdiri daripada Ahli Majlis, Ketua MPKK, pemimpin cawangan dan aktivis-aktivis parti yang setia dalam perjuangan parti.

“Kita juga akan memastikan bahawa calon yang terbaik akan dipilih untuk mewakili DAP untuk terus mendapat mandat pengundi DUN Teratai dalam PRU15 nanti,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here