Kanak-kanak 4 tahun kritikal dipercayai tertelan dadah

0
1

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dari Kampung Sri Bintang, Kuala Krai, Kelantan berada dalam keadaan kritikal dipercayai akibat dadah.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata kanak-kanak tersebut yang sedang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) terpaksa ditidurkan.

“Pada jam 5 pagi Ahad kami telah menerima satu laporan daripada doktor di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai berkenaan seorang kanak-kanak yang berada dalam keadaan kritikal dipercayai akibat dadah.

“Mangsa dibawa oleh ibu kandungnya untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu sidang media.

Muhamad Zaki berkata, hasil soal siasat mendapati kanak-kanak tersebut dibawa oleh bapa saudaranya berusia 32 tahun yang merupakan penagih tegar ketika mengambil dadah.

Menurutnya, semasa jagaan bapa saudaranya sama ada kanak-kanak tersebut diberi dadah atau dibiarkan menyebabkan mangsa terdedah dengan penggunaan bahan terlarang itu sehingga ia masuk ke dalam badan.

Beliau berkata, tindakan serta merta diambil dengan menahan bapa saudara kanak-kanak terbabit yang bekerja sebagai buruh pada jam 10 malam tadi untuk siasatan lanjut dan suspek yang mempunyai tiga rekod jenayah lampau direman mulai hari ini.

“Dadah yang berada di dalam badan kanak-kanak tersebut dipercayai jenis methaphetamine,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here