SPRM buka kertas siasatan terhadap KJ, Muhyiddin dan individu lain terima wang UKSB

0
1

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuka kertas siasatan terhadap bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan individu yang didakwa menerima wang seperti yang didedahkan saksi dalam perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

Dalam satu kenyataan malam tadi, SPRM mengesahkan telah menerima aduan terhadap individu-individu yang telah disebut dalam perbicaraan di mahkamah.

“SPRM akan membuka kertas siasatan terhadap penerima-penerima yang dikatakan telah menerima wang seperti yang disebut oleh saksi dalam perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid.

“Siasatan yang akan dijalankan adalah mengikut bidang kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009,” kata SPRM dalam kenyataan dikeluarkan.

Terdahulu, saksi perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid semasa memberi keterangan di mahkamah telah memetik nama-nama yang didakwa menerima wang daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

Antara yang disebut saksi itu ialah Muhyiddin, Khairy Jamaluddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dan bekas Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein
Datuk Seri Anifah Aman.

UKSB adalah syarikat yang terlibat dalam perbicaraan rasuah membabitkan bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi berhubung sistem visa luar negara (VLN).

Saksi pendakwaan ketika perbicaraan mendakwa Muhyiddin menerima RM1.3 juta, manakala Khairy lebih RM3 juta dana politik daripada UKSB.

Bagaimanapun Muhyiddin menafikan telah menerima wang daripada UKSB dan mendakwa pada masa itu dia sedang menjalani rawatan barah.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here