Shuttle Tebrau kembali beroperasi

0
1

PERKHIDMATAN Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Shuttle Tebrau dari Stesen JB Sentral, Johor Bahru ke Stesen Woodlands, Singapura yang dihentikan sejak lebih dua tahun lalu akibat pandemik Covid-19, beroperasi semula hari ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata seramai 7,000 penumpang sehari dijangka akan menggunakan perkhidmatan berkenaan.

Menurutnya, sebanyak 31 perkhidmatan Shuttle Tebrau disediakan dengan kadar tambang untuk tiket JB Sentral – Woodlands adalah RM5 seorang manakala dari Woodlands – JB Sentral adalah SGD5 seorang dan percuma bagi kanak-kanak berusia empat tahun ke bawah.

“Pagi ini, saya bersama dengan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyaksikan Majlis Flag-off Perkhidmatan Shuttle Tebrau di Stesen JB Sentral, Johor Bahru.

“Daripada 31 perkhidmatan, 18 perkhidmatan adalah daripada JB Sentral ke Woodlands dan 13 perkhidmatan adalah daripada Woodlands ke JB Sentral, dengan kekerapan perkhidmatan setiap 30 minit pada waktu puncak.

“Saya berharap, melalui pengoperasian semula perkhidmatan Shuttle Tebrau ini, akan dapat mengurangkan kadar kesesakan trafik di Tambak Johor dan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) terutamanya pada waktu puncak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Perkhidmatan Shuttle Tebrau sebelum ini digantung sementara pada 24 Mac 2020, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penutupan sempadan negara akibat Covid-19.

Ka Siong berkata, selepas majlis pelepasan itu, beliau bersama dua Exco Negeri Johor turut meninjau keadaan trafik di lorong motosikal di CIQ Bangunan Sultan Ibrahim.

“Cadangan penambahbaikan lorong akan dipertimbangkan demi kelancaran trafik pada waktu puncak,” katanya.

Sementara itu Onn Hafiz bersyukur perkhidmatan KTMB, Tren Shuttle Tebrau di antara Stesen JB Sentral, Johor Bahru dan Stesen Woodlands, Singapura telah dibuka semula bermula hari ini.

“Dengan pengoperasian semula kemudahan mesra rakyat ini, saya percaya ia akan membantu mengurangkan kesesakan trafik di Tambak Johor khususnya pada waktu-waktu puncak, sekaligus merancakkan lagi kegiatan sosio-ekonomi negeri.

“Tahniah dan terima kasih kepada semua pihak, khususnya Menteri Pengangkutan; Pengerusi KTMB, Datuk Musa Sheikh Fadzir serta seluruh warga KTMB, semua agensi-agensi negeri dan persekutuan yang telah berusaha memastikan perkhidmatan tren ini kembali beroperasi semula hari ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here