RANG Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti amat penting bagi menjamin kestabilan dan integriti politik sekali gus memperkasakan proses demokrasi berperlembagaan di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata penyediaan RUU ini dilakukan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas, kini sudah di peringkat akhir dan bakal dibentangkan di Parlimen pada Julai ini.
“Sementara itu, RUU Dana Sumbangan Politik pula meningkatkan integriti politik apabila terdapat kawal selia dana sumbangan politik, sekali gus mengelak rasuah dan salah guna kuasa,” katanya menerusi hantaran Facebook.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, dalam sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, tiga institusi penting menjadi tiang seri iaitu Legislatif atau Parlimen, Eksekutif atau kerajaan dan Kehakiman.
“Bagi memastikan badan legislatif dapat berfungsi dengan sempurna, kerajaan sedang membantu institusi ini untuk membuat transformasi.
“Antaranya, Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 bagi memberi kebebasan kepada Parlimen. Langkah ini juga selaras dengan apa yang dilakukan di peringkat antarabangsa,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, draf RUU Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti sudah dimuktamadkan dan dicadang kepada Ismail Sabri untuk dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Parlimen pada minggu pertama, Julai ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, perkara itu dipersetujui secara sebulat suara dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 Dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti Bilangan 6 Tahun 2022, semalam.
Menurut Wan Junaidi yang juga pengerusi jawatankuasa tersebut, mesyuarat itu telah bersetuju dan memuktamadkan draf RUU berkenaan untuk dibentang serta dibahaskan dalam Dewan Rakyat. – Malaysiapost

