TIMBALAN Menteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaafar menegaskan tidak berminat untuk menyertai Parti Bersatu Malaysia (PBM) dan akan kekal bersama Bersatu.
Justeru, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu menolak desas-desus mendakwa beliau akan keluar daripada parti dan menyifatkan andaian tersebut sama sekali tidak betul.
“Tidak ada niat (untuk sertai PBM). Saya kekal dengan Bersatu. Saya boleh sebutkan begitu. Kita kekal bersama Bersatu,” katanya seperti dilapor MalaysiaGazette.
Beliau mengulas mengenai ramalan penganalisis politik, Ahmad Atory Hussain bahawa kemungkinan 10 bekas Ahli Parlimen PKR akan menarik sokongan sekiranya Datuk Zuraida Kamaruddin digugurkan daripada Kabinet.
Sebelum ini, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan beliau tidak akan meninggalkan Bersatu dan menjadikan parti itu sebagai wadah perjuangan beliau.
Mohamed Azmin membuat kenyataan itu selepas desas-desus kuat beliau akan meninggalkan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama-sama dengan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Rashid Hasnon.
Spekulasi itu dikaitkan dengan peletakan jawatan Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta MPT Bersatu pada 26 Mei lalu, serta menyertai PBM.
Untuk rekod, Kamaruddin merupakan seorang daripada 11 Ahli Parlimen yang keluar daripada PKR. – Malaysiapost

