DBKL kenal pasti 31 lokasi hotspot banjir

0
2

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah mengenal pasti 31 lokasi hotspot banjir kilat di seluruh kawasan di ibu negara setakat ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kasim, berkata DBKL dan kementeriannya juga sudah menempatkan sebahagian kawasan itu dengan beg pasir dan pam air khususnya sebagai persediaan jika berlaku hujan lebat.

“Kita sudah kenal pasti 31 hotspot banjir kilat di Kuala Lumpur, beberapa lokasi sudah diletakkan beg pasir dan pam air.

“Saya sudah tunjukkan juga kepada wakil rakyat di Wilayah Persekutuan dan insya-Allah mereka berpuas hati,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

DBKL sebelum ini memaklumkan menempatkan kakitangannya yang ditugaskan secara bergilir-gilir di 24 lokasi dikenal pasti sentiasa berlaku banjir di sekitar ibu negara.

Katanya, kakitangan dari pelbagai jabatan ditempatkan di khemah disiapkan khas bermula jam 8 pagi hingga 10 malam setiap hari, dengan turut dibantu sukarelawan serta anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Lokasi itu termasuk di Bulatan Dato Onn, Lebuh Ampang, Jalan Rahmat, Kampung Periuk, Kampung Pasir, Lorong Abdul Samad, Taman Botani Perdana, Segambut Bahagia, Kampung Kasipillay dan berhampiran Balai Polis Brickfields.

Mengulas isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di Kuala Lumpur, Shahidan berkata kini ia di fasa akhir analisa dan satu kenyataan berhubung isu itu akan dimaklumkannya minggu depan.

“Kita akan keluarkan kenyataan pada minggu depan. Sekarang kita hadapi masalah perundangan. Kita ada 328 pemilik yang sudah berpindah, ada 37 yang menentang (untuk pindah).

“Kita kena ingat, jika batalkan projek ini, 328 pemilik ini kena balik ke rumah asal mereka dan flat mereka sekarang sudah rosak. Kita sedang halusi masalah perundangan yang terbabit,” katanya.

Beliau berkata, tempoh sudah diberikan kepada pemaju dan 37 pemilik yang menentang dan kerajaan kini perlu membuat keputusannya.

Sebelum ini, Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru (PKPHKSB) memohon Shahidan membantu menyelesaikan isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru itu yang tertangguh sejak enam tahun.

“Saya akan bagi pembelaan dengan tuan tanah sebaik mungkin,” kata Shahidan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here