MEMBEDAH lejar ‘faraid’ UKSB hari ini, pasukan peguambela, Datuk Ahmad Zaidi Zainal; Hamidi Mohd Noh dan Teh Poh Teck merungkai beberapa lagi identiti disebalik kod nama yang tercatat sebagai penerima tunai syarikat berkenaan.
Saksi Ke-17, David Tan Siong Sun, memberitahu mahkamah selain, TSM yang merujuk kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin kod nama K.J, K, dan ‘Alamak’, adalah merujuk kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang ketika itu menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan.
Khairy didakwa menerima antara RM30,000 hingga RM100,000 secara bulanan bermula 2014 hingga 2015 berpandukan kepada lejar ‘faraid’ UKSB setakat pemeriksaan balas hari ini.
ALAMAK atau Khairy didakwa turut menerima sejumlah RM3.7 juta sehingga tahun 2018.
Siong Sun juga memberitahu mahkamah, beliau menyerahkan tunai berkenaan kepada Wan Quoris Wan Abd Ghani untuk diserahkan kepada Khairy.
Manakala, kod nama Ami pula, merujuk kepada Amizal yang didakwa Siong Sun sebagai salah seorang daripada pegawai kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (H20) yang ketika itu menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri.
Mahkamah juga dimaklumkan sebelum ini projek VLN dianugerahkan kepada UKSB adalah pada masa H2O menjadi Menteri.
Satu lagi kod nama yang merujuk kepada pegawai kepada Hishammuddin adalah Amin atau Botak dengan nama sebenar yang didedahkan ialah Aminudin.
Kedua-dua mereka didakwa menerima secara berasingan wang tunai bernilai sehingga RM120,000 hampir setiap bulan dalam tempoh 2014 hingga 2015.
Satu lagi kod nama yang dicatatkan sebagai penerima tunai sebanyak RM500,000 pada setiap bulan iaitu FM adalah merujuk kepada ‘Foreign Minister’ namun tidak dapat mengesahkan sama ada ia adalah Datuk Seri Anifah Aman yang menjawat jawatan berkenaan ketika itu.
Siong Sun juga mendedahkan, Timbalan Menteri Luar Ketika itu, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pernah menerima antara RM200,000 hingga RM300,000 secara sekali bayar dalam tempoh terbabit.
Siong Sun selain itu turut mengesahkan beberapa nama lagi iaitu Rosli dan Shahril adalah merujuk kepada Setiausaha Bahagian di KDN seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Seorang lagi penjawat kerajaan yang dicatatkan menggunakan kod nama Kapten Amerika disahkan sebagai Datuk Alias Ahmad yang pada ketika itu menjawat jawatan Ketua Pengarah Imigresen. Alias juga beberapa kali dicatat menggunakan kod nama @.
Siong Sun selain itu mengaku, bahawa beliau hanya menerima arahan daripada Harry Lee, Wan Quoris dan beberapa kali dari Datuk Fadzil untuk menyediakan sejumlah wang yang diminta.
Beliau memberitahu mahkamah Wang itu akan diserahkan berdasarkan permintaan dan dicatitkan dengan kod nama tertentu jika Wan Quoris atau Harry Lee memberitahu kepada siapa tunai berkenaan akan diserahkan.
Beliau juga tidak dapat memastikan sama ada wang itu sampai ke tangan individu yang dimaksudkan oleh Harry Lee dan Wan Quoris. – Malaysiapost

