Jurang pendapatan melebar, kos sara hidup terus ‘menekan’ B40

0
1
Flat

MALAYSIA memerlukan strategi khusus untuk menangani beban kos sara hidup yang menekan golongan B40 ketika ini secara mampan.

Ahli Majlis Tindakan Ekonomi (MTE), Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, berkata program bantuan yang diperkenalkan kerajaan adalah baik, tetapi ia tidak dapat menyelesaikan masalah yang membelenggu golongan B40 di negara ini.

“Kita akui dan berterima kasih, banyak program bantuan telah diperkenalkan oleh kerajaan untuk B40 bagi meringankan beban kehidupan kumpulan berpendapatan rendah ini. 

“Bantuan adalah baik tetapi ianya tidak menyelesaikan masalah. Seiring dengan bantuan, Malaysia perlukan strategi yang khusus menangani masalah ini secara mampan,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, ketika ini pendapatan-B40 meningkat dengan kadar yang jauh lebih rendah berbanding T20. 

“Jurang T20-B40 semakin melebar. Tidak salah pendapatan T20 meningkat dengan pantas. Yang bermasalah ialah kenaikan pendapatan B40 terlalu perlahan,” katanya.

Beliau berkata, selain itu, pengagihan pendapatan-saiz kek pendapatan B40 seolah-olah tidak berubah. 

“Terkini hanya 16 peratus sampai ke B40, sementara 47 peratus untuk T20. Agak stabil untuk M40, sekitar 37 peratus. Petanda peluang untuk B40 masih terhad. Mengapa?,” soalnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kos sara hidup dengan peningkatan harga makanan sejak kebelakangan ini akan menyebabkan B40 lebih tertekan. 

“Sebanyak 37 peratus perbelanjaan mereka adalah untuk makanan. Dihimpun tiga komponen utama perbelanjaan; makanan, rumah, pengangkutan, sekitar 73 peratus. Amat merisaukan, semua tiga kategori perbelanjaan ini harganya semakin meningkat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan perlu merangka pelan jangka panjang dalam usaha mengatasi itu berkenaan termasuk mengadakan perbincangan dengan Malaysian Inclusivity, Development and Advancement Institute (MINDA)-UKM.

“Isu struktur membelenggu kita. Cari jalan, letak sasaran, laksanakan, pantau, dan laporkan. Perlu ada rencana jangka panjang. Boleh bincang dengan MINDA-UKM,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here