Isham gesa polis, SPRM siasat Muhyiddin

0
1

BEKAS Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil menggesa polis dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima sebanyak RM 1.3 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

Beliau berkata, keterangan saksi itu tidak boleh diambil ringan kerana sudah semestinya dia maklum akan dikenakan hukuman jika memberi keterangan palsu.

“Saya pasti tentunya saksi itu tahu jika dia beri keterangan palsu dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 7 tahun di bawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan, oleh itu keterangan yang diberikan di mahkamah itu bukanlah sesuatu yang boleh diambil enteng dan dia pastinya telah fikir panjang sebelum beri keterangan tersebut.

“Sekiranya benar Muhyiddin ada terima duit RM1.3 juta ini dan ada unsur rasuah dalam penerimaan dana ini, pihak berkuasa sama ada polis atau SPRM perlu mengambil tindakan. Tiada siapa yang patut terlepas dari jenayah,” katanya dalam hantaran Facebook.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu Muhyiddin turut menerima sumbangan dana politik RM1.3 juta daripada UKSB pada 2018.

Selain Muhyiddin, lima nama ahli politik disebut ketika perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi iaitu Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Anifah Aman.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Ahmad Zahid, Datuk Ahmad Zaidi Zainal; bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun, 47, berkata Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menerima sumbangan wang tunai RM300,000 pada 4 Jun 2018; RM500,000 (4 Julai 2018) dan RM500,000 (23 Ogos 2018) berdasarkan buku lejar syarikat itu.

Sementara itu, Isham berkata Muhyiddin tidak boleh lepas daripada hukuman jika benar didapati bersalah atas menerima rasuah.

“Dulu Muhyiddin tidak pakai mask di kalayak ramai semasa PKP tetapi dia tidak didenda namun terlepas begitu sahaja walaupun orang ramai banyak yang kena saman untuk kesalahan yang sama.

“Kali ini jika dia bersalah ambil rasuah RM1.3 juta, dia tidak boleh terlepas begitu sahaja juga.

“Keadilan dan pengadilan perlu terlaksana kepada semua, bukan hanya kepada yang terpilih sahaja. Tiada siapa yang berada lebih tinggi dari undang-undang,” ujarnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here